TELOK KEMANG – Buat julung kalinya, Balai Cerap Telok Kemang
mengambil bahagian dalam program Onesky :International Sidewalk Astronomy yang
berlangsung serentak di beberapa negara di seluruh dunia, Jumaat lepas.
Pengurus Balai Cerap Telok Kemang, Ahmad Zaki Hamzah
berkata, program itu merupakan satu program cerapan langit malam bersama dengan
peminat astronomi dan orang ramai.
“Tujuan utamanya ialah bersama-sama berkongsi keindahan alam
semesta yang dapat dilihat menerusi peralatan astronomi seperti teleskop dan
binocular.
“Apa yang cuba dibawakan oleh program ini adalah sebagai
gerakkan untuk menimbulkan pendidikan dalam kalangan masyarakat seluruh dunia
bahawa walaupun kita dipisahkan oleh perbezaan agama, budaya, bangsa dan negara
tetapi kita sebenarnya berkongsi satu langit yang sama,” katanya ketika ditemui
di Balai Cerap Telok Kemang.
Program ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Mufti Negeri
Sembilan.
Ahmad Zaki berkata, istilah sidewalk astronomy ini sering
digunakan dan program seumpama ini pernah dijalankan di beberapa organisasi
falak dan astronomi tempatan.
“Namun untuk tahun ini, ia agak berbeza sedikit yang mana
selain daripada kita hadir bersama dengan personaliti astronomi tempatan, kita
juga digalakkan berkongsi foto-foto aktiviti menerusi laman-laman sosial
seperti facebook, twitter, google dan instagram dengan menggunakan #onesky
sebagai lencana pengenalannya.
“Sepanjang program yang bermula sejak jam 8 malam dan
berakhir sekitar 4 pagi, banyak gambar yang dirakam dan seterusnya dikongsi di
laman sosial ini,” katanya.
Ahmad Zaki berkata, Balai Cerap Telok Kemang adalah lokasi
rasmi ataupun tuan rumah di peringkat Malaysia bagi perlaksanaan program ini.
“Namun di seluruh negara ada ramai lagi peminat astronomi
turut melakukan aktiviti sama dan berkongsi gambar," katanya.
Ahmad Zaki berkata, orang ramai yang ingin melihat alam
semesta boleh datang ke Balai Cerap Telok Kemang dan terlebih dahulu
menghubungi pengurusan Klana Beach Resort Port Dickson untuk butiran lanjut.
“Balai Cerap Telok Kemang adalah satu-satunya balai cerap di
negara ini yang dibuka kepada orang ramai setiap malam dan ia terbuka kepada semua termasuklah masyarakat
bukan Islam,” katanya.
Seramai 150 orang peminat astronomi termasuk pelajar dari
Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hadir menyertai dan
menjayakan program Onesky: International Sidewalk Astronomy.
Tweet
No comments:
Post a Comment