KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama)
-- Bercakap mengenai isu gelandangan, kota besar seperti Kuala Lumpur mungkin
tiada bezanya dengan bandaraya utama lain yang dihimpit masalah itu. Ya atau
tidak, ia adalah sisi negatif yang memperlihatkan kegagalan penghijrahan
masyarakat dari luar bandar ke bandar. Adakah dengan pembangunan yang rancak,
ada segelintir kelompok kecil masyarakat terpinggir? Mengakui hal itu, Ketua
Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Siti
Norlasiah Ismail berkata pengurusan penduduk dan penyediaan infrastuktur yang
cekap perlu dilaksanakan bagi menampung kepadatan penduduk yang semakin
meningkat, khususnya di kawasan bandar. "Penduduk yang padat sekaligus
mengakibatkan tekanan kepada masyarakat jika persekitaran bandar semakin
merosot. Impak negatif bukan hanya dari segi fizikal tetapi meningkatkan pelbagai
penyakit sosial", katanya. Bercakap dalam program Ala Carte Pagi terbitan
Bernama Radio24 baru-baru ini, Dr Siti Norlasiah berkata migrasi dalaman
mahupun luaran perlu ditangani dengan bijak agar tidak merencatkan pembangunan
dan komodenan baik kepada rakyat mahupun negara. "Kepadatan penduduk di
Kuala Lumpur contohnya adalah melampau dengan peningkatan 100 peratus. Banjir
kilat, miskin bandar antara kesan yang diterima warga kota ekoran kepadatan
penduduk".
STATISTIK TERKINI
Corak dan tren migrasi di
Malaysia bagi tempoh 2010-2011 adalah 2.5 peratus merangkumi 711,600 orang yang
telah berhijrah ke bandar menunjukkan satu peningkatan sebanyak 181,2000 orang
berbanding 530,400 antara 2009-2010. Selangor adalah negeri destinasi utama migrasi
dengan mencatatkan 17,700 orang diikuti Pulau Pinang (8,800), Sarawak (5,500)
dan Kelantan (3,200).
PERANAN KERAJAAN
Inisiatif dan usaha yang
dilaksanakan kerajaan membantu menyediakan persekitaran yang seimbang kepada
kepadatan penduduk di bandar-bandar besar. Bagaimanapun ia masih dilihat
''kurang'' berbanding keperluan masyarakat yang sentiasa meningkat dan mahukan
keselesaan sebagai asas utama. "Keperluan air bersih, kemampuan memiliki rumah
sendiri dan sistem saliran antara isu utama disebalik migrasi dan urbanisasi.
Ia dilihat sebagai tekanan terutamanya kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
yang bertindak sebagai penyelaras", katanya. Sehubungan itu, Dr Siti
Norlasiah mahu agensi-agensi yang berkaitan, badan bukan kerajaan (NGO) dan
swasta turut terlibat secara aktif dalam menguruskan migrasi.
MIGRASI DARI PERTANIAN KE PEJABAT
Generasi muda mula meninggalkan
aktiviti pertanian dan perladangan yang menjadi lanskap utama di luar bandar
bagi mencari suasana kerja lebih selesa di bandar. Bersempena Hari Penduduk
Sedunia yang disambut pada 11 Julai setiap tahun, LPPKN menganjurkan
Persidangan Kependudukan Antarabangsa dengan kerjasama Universiti Malaya (UM)
pada Isnin di universiti berkenaan. Antara lain persidangan itu bertujuan
menganalisis aliran dan corak migrasi, kesan migrasi terhadap urbanisasi dan
pembangunan serta bagi membentuk jaringan kerjasama di peringkat antarabangsa. Persidangan
yang bertema ''migrasi, urbanisasi dan pembangunan'' itu turut mengkaji arah
aliran migrasi, kesan migrasi terhadap pemodenan bandar dan mewujudkan
kerjasama di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA
Tweet
Sedar atau tidak, rakyat dari negera China ramai berhijrah ke Malaysia,
ReplyDeletemereka lebih selesa berada di Malaysia berbanding di negara mereka sendiri yang mempunyai kepadatan penduduk.